Wednesday, December 19, 2012

Dalam Kenangan…17 Dec 2012



 



Empat tahun yang lalu, kehilangan adik amat dirasakan, dua tahun kemudian pakngah menyusul dan selepas dua tahun nenek pula pergi kini 100 hari selepas kehilangan nenek, abah pula pergi. 

Terkejut sangat sangat terkejut, namun redha dan percaya dengan janji tuhan dan sedar itu yang terbaik walaupun sayu pilu melihat airmata emak. Tidak ada kata untuk menenangkan emak kerana semua kata-kata tidak mampu menahan airmata emak.

Dengan doa semoga tenang, aman dan damai dan di tempatkan dikalangan mereka yang beriman. Insya-allah selagi ada nyawa dikandung badan kami adik beradik akan jaga emak.  Abah kekal dalam kenangan.  Al Fatihah.

 

Tuesday, November 6, 2012

Berlakon, ya!





Kenapa suka berlakon? Seronok ye sebab nanti ada ejen pencari bakat terjumpa kamu dan menawarkan watak utama?

Memang lakonan kamu nampak real, tapi kan, argh malas nak cakap Cuma aku doakan semoga tahun depan Anugerah Grammy Awards milik kamu! 

Ops, sebelum menerima Anugerah Grammy Award, mungkin patut menang pelakon terbaik dulu…

Nanti jangan lupa aku kalau sudah duduk sebaris dengar artis terkenal....

Monday, October 29, 2012

Hanya kenangan




Foodcourt Giant Bandar Kinrara memang sesak lebih-lebih lagi waktu makan tengah hari. Semua yang bekerja datang hendak menjamu selera, tidak kurang pula, ibubapa yang baru saja pulang dari menjemput anak-anak pulang daripada sekolah. Mata Nayli liar memerhatikan tempat duduk yang masih kosong. Dalam hati berharap, kalau ada satu kerusi pun sudah cukup baik, maklumlah sudah lenguh tangan menatang dulang berisi fishball kuewtiaw dan air ke hulu ke hilir mencari tempat. Akhirnya ada satu meja kosong tidak jauh daripada tempat Nayli berdiri. Dia segera mengatur langkah dengan berhati-hati.
            “Nayli?” satu suara menegurnya yang baru hendak menyuap makanan.
            “Ini Nayli, bukan?” tanya suara itu lagi membuatkan Nayli mengangkat muka memandang orang yang menegurnya.
            “Awak tidak kenal saya?” soalnya lagi.
            Nayli memandang wanita anggun itu dengan teliti, tapi wajah itu seolah-olah tidak terakam langsung dalam album ingatannya. Perlahan-lahan dia menggeleng kepala. Raut kecewa terselah di wajah wanita anggun itu. Oh, tidak, bukannya Nayli sengaja hendak buat wanita itu kecewa.
            “Sampai hati awak lupa saya,” rajuk wanita itu lantas menarik kerusi kosong dihadapan Nayli.
            “Maaf, saya memang tidak ingat,” beritahu Nayli jujur.
            “Saya, Farah. Kelas IT di AIT, tahun 1995,” beria-ia Farah cuba mengembalikan ingatan aku.
            Nayli pandang Farah dengan rasa tidak percaya. Tapi Farah angguk sambil tersenyum manis.
            “Eh, awak ingat tak dengan Iyyad?” soal Farah tiba-tiba.
            Dahi Nayli sudah berkerut. Terbantut hasratnya hendak makan. Putus selera bila Farah menyebut nama itu. Nayli pandang Farah semula.
            “Dia cari awak, bertahun-tahun lamanya,” kata Farah.
            “Iyyad jahatkan. Buat awak macam itu kemudian terus senyap,” tambah Farah lagi.
            “Nayli, dia cari awak,” kata Farah lagi.
            Nayli pandang Farah dan mencari kekuatan untuk bersuara,”Untuk apa? Saya sudah lupakan semua itu dan saya sudah maafkan semuanya.”
            Farah masih tersenyum,”Sekarang saya tahu mengapa awak sukakan dia.”
            Oh, tidak, Nayli tidak mahu tahu itu semua. Baginya semua sudah berlalu dan dia sendiri sudah tidak ingat apa-apa tentang Iyyad.
            “Eh, saya hendak berbual panjang dengan awak, tapi saya kena cepat. Boleh saya telefon awak nanti,” kata Farah.
            “Err, saya sibuk sikit sebab lusa ada seminar,” Nayli mencipta alasan.
            “Sebenarnya ada perkara saya hendak beritahu awak,” kata Farah.
            Nayli serba salah. Kalau boleh dia tidak mahu tahu apa-apa pun yang berkaitan dengan Iyyad. Malah nama itu sudah dia tanam dalam-dalam. Nayli cuba mengaku secara jujur, suatu masa dulu kau pernah cuba cari Iyyad dan Farah? Sekarang tuhan sudah makbulkan doa kau, kenapa menolak? Hatinya bersuara mengingatkan.
            Dia mengeluh perlahan. Ya, dulu memang aku ada cuba cari, tapi tidak bersungguh-sungguh pun sebab rasanya tidak ada sebab konkrit hendak cari mereka. Patutlah, patutlah orang selalu cakap berhati-hati dengan apa saja yang kita hajatkan.
            Hari ini semua kerja jadi tidak betul. Nasib baik tidak ada yang penting, kalau tidak harus dia terima surat pemberhentian kerja.
            “Nayli, sudah hendak balik?” soal Zuan.
            Nayli hanya senyum segaris dan angkat tangan. Dia tidak mahu kawan sepejabat terasa pula dengan sikapnya yang agak kurang sopan itu. Nayli tidak terus pulang. Dia singgah di kedai buku. Mungkin beli novel terbaru dapat mengubat resahnya. Nayli parkir kereta betul-betul dihadapan kedai buku.
            “Nayli, tidak sangka jumpa awak disini,” oh itu suara orang yang Nayli cuba elak.
            Lambat-lambat dia berpaling, Farah sedang tersenyum memandangnya.
            “Mari saya belanja awak minum,” Farah menarik lengan Nayli.
            “Ada banyak cerita yang hendak saya kongsi dengan awak,” beritahunya lagi.
            Apa yang Farah tidak tahu, jantung Nayli sudah bertukar ritma. 

Thursday, October 25, 2012

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha

Sentiasa ingat pengorbanan yang dilakukan orang tersayang untuk kita.

Kenang juga pengorbanan yang kita lakukan untuk orang yang tersayang walaupun kecil. Supaya kita sentiasa menghargai diri sendiri.



Wednesday, September 26, 2012

Aku & Mr Cupcake



Sudi-sudilah membaca Aku & Mr Cupcake di http://redscarfnovel.blogspot.com/. Jika ada masa bagi la komen...

pstt...jutaan terima kasih kepada Juliaesqa dan Fara Yuhana atas segala-galanya...err nanti saya senaraikan ye :) dan atas cover yang buat saya jatuh cinta...eeeuuuwwww !

Tuesday, September 18, 2012

Al Fatihah…



Nenek pergi menemui kekasih abadi pada 13 Sept 2012 pukul 10.15malam. Walaupun baru saja melawat nenek pada 1 syawal yang lalu, tapi kehilangan yang mengejut sangat terasa. Betullah kata orang, pemergian mengejut akan selalu meninggalkan kesan yang mendalam.

Tidak tahu apa yang perlu diucapkan. Hanya bacaan Al-Fatihah dan Surah Yassin mengiringi nenek. Tidak percaya dengan apa yang berlaku tapi mesti redha dengan ketentuan Allah. Semoga nenek tenang disana. Ingatan tetap akan bersama selamanya.


Thursday, September 13, 2012

Sepi dan bersawang



Terlalu banyak yang hendak dikongsikan tapi masa seakan cemburu. 

Jadi akan mengisi kesepian dan membersihkan yang bersawang bila ada masa… marilah berehat sambil menikmati cupcake di sini...Jemput makan