Wednesday, September 28, 2011

Nostalgia – Kawan saya

Saya ada seorang kawan semasa sekolah rendah. Kami sekelas. Saya memanggilnya “Ili”. Saya pun tidak pasti apa yang membuatkan kami rapat. Tetapi ada beberapa perkara membuatkan saya teringatkan Ili. Salah satunya…Ili sangat cantik, rambutnya perang asli, kulitnya cerah, dia seorang yang sangat pendiam tetapi murah senyum. Masa dulu, cikgu tidak kisah sangat jika ada pelajar yang berambut perang kerana cikgu tahu itu memang asli. Ya lah, pelajar kampong seperti kami mana ada duit yang banyak hendak ke salun. Lagi pun tidak ada salun di kampong kami kecuali kedai gunting rambut lelaki. Semasa di sekolah dahulu ada skim bantuan makanan untuk pelajar-pelajar yang kurang mampu. Dan Ili salah seorang daripadanya. 10 minit sebelum waktu rehat, Ili dan pelajar-pelajar itu akan beratur di kantin untuk mengambil makanan mereka. Kemudian kami akan makan bersama di belakang bangunan sekolah. Oh, saya memang jarang beli makanan di kantin sebab, rumah saya terletak di sebelah sekolah. Saya akan pergi ke tepi pagar dan panggil mak untuk ambil bekalan makanan saya....selalunya mak sudah siap masak nasi dan lauk. Dan itu saya akan kongsikan dengan Ili. Saya ingat Ili selalu kata saya bertuah kerana mak sediakan makanan untuk waktu rehat. Saya pula kata Ili bertuah sebab selalu dapat nasi lemak percuma daripada kantin sedangkan saya jarang sekali berpeluang makan di kantin. (psst kadang-kadang bila saya demam mengejut, cikgu akan panggil mak dan cikgu akan angkat dan hulur saya melalui pagar, mak akan sambut saya dari sebelah pagar....heheheh) Selain daripada itu, apa yang saya ingat kami berdua memang jauh berbeza. Saya aktif sukan dan selalu menjadi wakil rumah dan sekolah. Ili tidak dan dia tidak suka sukan. Saya pegang jawatan dalam sekolah. Ili tidak, tetapi semua itu tidak penting. Selalunya saya yang menceceh dan Ili hanya akan bagi komen jika perlu. Selebihnya dia akan tersenyum sambil mendengar ocehan saya. Saya tidak tahu dimana Ili berada kini. Semoga satu hari nanti kami akan dipertemukan. Saya tidak kenal rapat keluarga Ili. Maklum kami hanya berkawan waktu sesi persekolahan. Selepas waktu sekolah kami tidak pernah berjumpa. Dulu kami tidak boleh keluar pergi ke rumah kawan sesuka hati, tambahan pula rumah Ili jauh. Yang saya ingat seorang kawan yang ikat rambut tocang dua atau berambut pendek tetapi berwarna perang dengan senyuman sentiasa terukir di bibirnya.