Wednesday, September 28, 2011

Nostalgia – Kawan saya

Saya ada seorang kawan semasa sekolah rendah. Kami sekelas. Saya memanggilnya “Ili”. Saya pun tidak pasti apa yang membuatkan kami rapat. Tetapi ada beberapa perkara membuatkan saya teringatkan Ili. Salah satunya…Ili sangat cantik, rambutnya perang asli, kulitnya cerah, dia seorang yang sangat pendiam tetapi murah senyum. Masa dulu, cikgu tidak kisah sangat jika ada pelajar yang berambut perang kerana cikgu tahu itu memang asli. Ya lah, pelajar kampong seperti kami mana ada duit yang banyak hendak ke salun. Lagi pun tidak ada salun di kampong kami kecuali kedai gunting rambut lelaki. Semasa di sekolah dahulu ada skim bantuan makanan untuk pelajar-pelajar yang kurang mampu. Dan Ili salah seorang daripadanya. 10 minit sebelum waktu rehat, Ili dan pelajar-pelajar itu akan beratur di kantin untuk mengambil makanan mereka. Kemudian kami akan makan bersama di belakang bangunan sekolah. Oh, saya memang jarang beli makanan di kantin sebab, rumah saya terletak di sebelah sekolah. Saya akan pergi ke tepi pagar dan panggil mak untuk ambil bekalan makanan saya....selalunya mak sudah siap masak nasi dan lauk. Dan itu saya akan kongsikan dengan Ili. Saya ingat Ili selalu kata saya bertuah kerana mak sediakan makanan untuk waktu rehat. Saya pula kata Ili bertuah sebab selalu dapat nasi lemak percuma daripada kantin sedangkan saya jarang sekali berpeluang makan di kantin. (psst kadang-kadang bila saya demam mengejut, cikgu akan panggil mak dan cikgu akan angkat dan hulur saya melalui pagar, mak akan sambut saya dari sebelah pagar....heheheh) Selain daripada itu, apa yang saya ingat kami berdua memang jauh berbeza. Saya aktif sukan dan selalu menjadi wakil rumah dan sekolah. Ili tidak dan dia tidak suka sukan. Saya pegang jawatan dalam sekolah. Ili tidak, tetapi semua itu tidak penting. Selalunya saya yang menceceh dan Ili hanya akan bagi komen jika perlu. Selebihnya dia akan tersenyum sambil mendengar ocehan saya. Saya tidak tahu dimana Ili berada kini. Semoga satu hari nanti kami akan dipertemukan. Saya tidak kenal rapat keluarga Ili. Maklum kami hanya berkawan waktu sesi persekolahan. Selepas waktu sekolah kami tidak pernah berjumpa. Dulu kami tidak boleh keluar pergi ke rumah kawan sesuka hati, tambahan pula rumah Ili jauh. Yang saya ingat seorang kawan yang ikat rambut tocang dua atau berambut pendek tetapi berwarna perang dengan senyuman sentiasa terukir di bibirnya.

Monday, September 26, 2011

Cerita Dongeng

Pihak kami menawarkan gaji asas RM….. + elaun A, + elaun B + elaun C + elaun D + elaun E + elaun F sehingga Z. Bermakna sebulan gaji kamu RM20,000 termasuk elaun tersebut. Kamu terima tawaran pihak kami?. Oh, itu belum termasuk kenaikan gaji setiap tahun, bonus dan performance bonus. Kita yang mendengar tawaran mesti terbeliak mata…wah banyak sungguh Sekaligus kita merasa bertuah kerana ditawarkan gaji sedemikian rupa… Sebenarnya hanya cerita dongeng
Kami memberikan royalti sebanyak 15% kepada semua penulis-penulis kami. Kami melayan penulis-penulis kami seperti Diva. Malah buku-buku hasil tulisan penulis kami dapat dijual berjuta-juta salinan dengan untung berlipat kali ganda. Kita gembira kerana merasakan membuat keputusan yang tepat. Tanpa berlengah terus menandatangani perjanjian, kerana membayangkan apa yang bakal kita dapat tanpa bertanya pada orang lain. Eh, ini peluang baik untuk kita, bukan! Itu hanya cerita dongeng…

Friday, September 9, 2011

Impian sebesar dunia?

Menyimpan impian sebesar dunia? Semua orang ada impian. Hanya sama ada impian itu besar atau sederhana atau kecil terpulang kepada individu yang menyimpan impian. Tidak salah menyimpan impian sebesar dunia. Hanya kadangkala kita perlu mengukur kemampuan kita dalam mencapai impian. Berangan-angan disertai dengan usaha dan melihat impian itu di alam nyata tidak mustahil akan membawa kita mencapai impian sebesar dunia. Tetapi jika sekadar angan-angan dan tidak berpaksi pada dunia nyata akan mengundang kekecewaan yang melampau bila angan-angan itu tidak mampu dicapai. Sekadar mengingatkan diri sendiri, belajarlah mencapai kejayaan yang kecil dan berusaha menjadikan yang kecil itu besar dan berkembang. Kerana bimbang jika diberi kejayaan sebesar dunia secara tiba-tiba akan timbul rasa riak dan sombong, tidak lagi memandang rumput dibumi… Nauzubillah…

Wednesday, September 7, 2011

Punching bag….



Semua orang pasti tahu maknanya!
Seorang ketua marah dengan salah seorang pekerjanya yang berjawatan pegawai kanan. Malangnya si pegawai tidak sedar atau buat-buat tidak sedar akan kemarahan ketuannya. Masih melakukan kesilapan yang sama. Si ketua pula entah apa yang merasuknya, tidak mampu melepaskan rasa marah dan tidak puas hati kepada si pegawai. Si ketua pula rasa tidak senang hati kerana tidak boleh melepaskan marahnya dan ini boleh menyebabkan darah naik hingga ke kepala. Jadi untuk mengelakkan itu berlaku, si ketua datang awal setiap hari dan melihat jika ada pekerja bawahan yang melakukan kesalahan, supaya dia boleh melepaskan rasa marahnya.

Malangnya pekerja itu kerana hari itu dia tersilap menjawab satu panggilan telefon. Sepatutnya dia mengucapkan selamat pagi dan menyebut nama syarikat, tetapi dia hanya menjawab helo. Si ketua yang mendengar terus menumpahkan kemarahannya tanpa ada sekatan lalu lintas. Kata si ketua, cara pekerja menjawab panggilan telefon boleh menjejaskan nama baik syarikat. Pelanggan atau bakal pelanggan akan memandang rendah keupayaannya sebagai ketua dan mereka kemungkinan akan kehilangan kontrak yang besar. Wah! begitu sekali impaknya kepada syarikat. Pekerja yang dimarahi itu terkebil-kebil mendengar syarahan percuma daripada ketua tanpa sempat membela diri.
Setelah puas hati, si ketua baru teringat untuk bertanya siapakah yang menelefon sebentar tadi. Dengan nada perlahan ketua itu memberitahu, panggilan itu daripada pondok kawalan kerana ada pesanan untuk salah seorang pekerja mereka. Si ketua? Sendiri mau ingat….

Monday, September 5, 2011

Masih dalam mood raya….




Ya, walaupun sudah mula bekerja…tapi mood raya masih ada (mood bercuti sebenarnya…ahaks!)

Rutin raya tidak pernah berubah seperti tahun-tahun yang lalu…sebab hanya kami sekeluarga paling dekat dengan dua-dua mak… seperti kata seorang kawan (bila saya beritahu raya di mana) “Eleh, kalau baling batu tu..belum sempat batu jatuh korang dah sampai kat kampung”. Maknanya kampung kedua-dua mak dekat sangat….paling lama 45 minit perjalanan….jadi pagi raya rumah mak dan petang raya pun rumah mak…malam balik tidur rumah sendiri…esok rutin yang sama.

Cuma tahun ini, ikut kata mak saya, tetamu kurang berbanding tahun-tahun yang lepas (rumah mak saya, dari raya pertama sampai raya ke tiga, ramai tetamu (baca terlalu ramai)).Tapi saya sedikit lega, bukan tidak suka mereka datang, cuma tahun ini, mak kurang sihat untuk melayan tetamu. Dengan jumlah tetamu yang melebihi 100 orang sehari tentu mak tak mampu nak melayan mereka semua. Tambahan pula adik-adik beraya di rumah mertua masing-masing.

Tahun ini juga merupakan pertama kali saya mengayam ketupat…(dulu saya memang ambil kontrak anyam ketupat semasa belum berumahtangga) saya anyam 100 kelongsong ketupat. Semuanya sebab mak tak sihat. Tapi saya tak kisah sekurang-kurangnya saya masih ingat cara hendak menganyam ketupat heheheh…..sampai satu rumah hendak belajar menganyam…

Tahun ini juga baju raya dibeli saat-saat akhir, sehari sebelum menolong mak bakar lemang. Oh tahun ni, semua puas hati dengan lemang yang dibakar. Hanya ketupat ada beberapa biji yang keras, tapi tak kisah sebab anak dara baru belajar mengisi kelongsong ketupat…

Cuma tahun ini kami adik beradik beraya ke rumah pakcik dan makcik tanpa mak, abah dan nenek kerana nenek tidak mahu keluar beraya (nenek ada Alzheimer-mood juga selalu berubah2). Jadi mak terpaksa tinggal menjaga nenek dirumah. Tidak boleh tinggalkan nenek sendirian…mungkin jika mood nenek dah pulih, mak boleh pergi beraya bersama dengan kami nanti.