Monday, October 29, 2012

Hanya kenangan




Foodcourt Giant Bandar Kinrara memang sesak lebih-lebih lagi waktu makan tengah hari. Semua yang bekerja datang hendak menjamu selera, tidak kurang pula, ibubapa yang baru saja pulang dari menjemput anak-anak pulang daripada sekolah. Mata Nayli liar memerhatikan tempat duduk yang masih kosong. Dalam hati berharap, kalau ada satu kerusi pun sudah cukup baik, maklumlah sudah lenguh tangan menatang dulang berisi fishball kuewtiaw dan air ke hulu ke hilir mencari tempat. Akhirnya ada satu meja kosong tidak jauh daripada tempat Nayli berdiri. Dia segera mengatur langkah dengan berhati-hati.
            “Nayli?” satu suara menegurnya yang baru hendak menyuap makanan.
            “Ini Nayli, bukan?” tanya suara itu lagi membuatkan Nayli mengangkat muka memandang orang yang menegurnya.
            “Awak tidak kenal saya?” soalnya lagi.
            Nayli memandang wanita anggun itu dengan teliti, tapi wajah itu seolah-olah tidak terakam langsung dalam album ingatannya. Perlahan-lahan dia menggeleng kepala. Raut kecewa terselah di wajah wanita anggun itu. Oh, tidak, bukannya Nayli sengaja hendak buat wanita itu kecewa.
            “Sampai hati awak lupa saya,” rajuk wanita itu lantas menarik kerusi kosong dihadapan Nayli.
            “Maaf, saya memang tidak ingat,” beritahu Nayli jujur.
            “Saya, Farah. Kelas IT di AIT, tahun 1995,” beria-ia Farah cuba mengembalikan ingatan aku.
            Nayli pandang Farah dengan rasa tidak percaya. Tapi Farah angguk sambil tersenyum manis.
            “Eh, awak ingat tak dengan Iyyad?” soal Farah tiba-tiba.
            Dahi Nayli sudah berkerut. Terbantut hasratnya hendak makan. Putus selera bila Farah menyebut nama itu. Nayli pandang Farah semula.
            “Dia cari awak, bertahun-tahun lamanya,” kata Farah.
            “Iyyad jahatkan. Buat awak macam itu kemudian terus senyap,” tambah Farah lagi.
            “Nayli, dia cari awak,” kata Farah lagi.
            Nayli pandang Farah dan mencari kekuatan untuk bersuara,”Untuk apa? Saya sudah lupakan semua itu dan saya sudah maafkan semuanya.”
            Farah masih tersenyum,”Sekarang saya tahu mengapa awak sukakan dia.”
            Oh, tidak, Nayli tidak mahu tahu itu semua. Baginya semua sudah berlalu dan dia sendiri sudah tidak ingat apa-apa tentang Iyyad.
            “Eh, saya hendak berbual panjang dengan awak, tapi saya kena cepat. Boleh saya telefon awak nanti,” kata Farah.
            “Err, saya sibuk sikit sebab lusa ada seminar,” Nayli mencipta alasan.
            “Sebenarnya ada perkara saya hendak beritahu awak,” kata Farah.
            Nayli serba salah. Kalau boleh dia tidak mahu tahu apa-apa pun yang berkaitan dengan Iyyad. Malah nama itu sudah dia tanam dalam-dalam. Nayli cuba mengaku secara jujur, suatu masa dulu kau pernah cuba cari Iyyad dan Farah? Sekarang tuhan sudah makbulkan doa kau, kenapa menolak? Hatinya bersuara mengingatkan.
            Dia mengeluh perlahan. Ya, dulu memang aku ada cuba cari, tapi tidak bersungguh-sungguh pun sebab rasanya tidak ada sebab konkrit hendak cari mereka. Patutlah, patutlah orang selalu cakap berhati-hati dengan apa saja yang kita hajatkan.
            Hari ini semua kerja jadi tidak betul. Nasib baik tidak ada yang penting, kalau tidak harus dia terima surat pemberhentian kerja.
            “Nayli, sudah hendak balik?” soal Zuan.
            Nayli hanya senyum segaris dan angkat tangan. Dia tidak mahu kawan sepejabat terasa pula dengan sikapnya yang agak kurang sopan itu. Nayli tidak terus pulang. Dia singgah di kedai buku. Mungkin beli novel terbaru dapat mengubat resahnya. Nayli parkir kereta betul-betul dihadapan kedai buku.
            “Nayli, tidak sangka jumpa awak disini,” oh itu suara orang yang Nayli cuba elak.
            Lambat-lambat dia berpaling, Farah sedang tersenyum memandangnya.
            “Mari saya belanja awak minum,” Farah menarik lengan Nayli.
            “Ada banyak cerita yang hendak saya kongsi dengan awak,” beritahunya lagi.
            Apa yang Farah tidak tahu, jantung Nayli sudah bertukar ritma. 

Thursday, October 25, 2012

Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha

Sentiasa ingat pengorbanan yang dilakukan orang tersayang untuk kita.

Kenang juga pengorbanan yang kita lakukan untuk orang yang tersayang walaupun kecil. Supaya kita sentiasa menghargai diri sendiri.