Foodcourt Giant Bandar
Kinrara memang sesak lebih-lebih lagi waktu makan tengah hari. Semua yang
bekerja datang hendak menjamu selera, tidak kurang pula, ibubapa yang baru saja
pulang dari menjemput anak-anak pulang daripada sekolah. Mata Nayli liar memerhatikan
tempat duduk yang masih kosong. Dalam hati berharap, kalau ada satu kerusi pun
sudah cukup baik, maklumlah sudah lenguh tangan menatang dulang berisi fishball
kuewtiaw dan air ke hulu ke hilir mencari tempat. Akhirnya ada satu meja kosong
tidak jauh daripada tempat Nayli berdiri. Dia segera mengatur langkah dengan
berhati-hati.
“Nayli?” satu suara menegurnya yang baru hendak menyuap
makanan.
“Ini Nayli, bukan?” tanya suara itu lagi membuatkan Nayli
mengangkat muka memandang orang yang menegurnya.
“Awak tidak kenal saya?” soalnya lagi.
Nayli memandang wanita anggun itu dengan teliti, tapi
wajah itu seolah-olah tidak terakam langsung dalam album ingatannya.
Perlahan-lahan dia menggeleng kepala. Raut kecewa terselah di wajah wanita
anggun itu. Oh, tidak, bukannya Nayli sengaja hendak buat wanita itu kecewa.
“Sampai hati awak lupa saya,” rajuk wanita itu lantas
menarik kerusi kosong dihadapan Nayli.
“Maaf, saya memang tidak ingat,” beritahu Nayli jujur.
“Saya, Farah. Kelas IT di AIT, tahun 1995,” beria-ia
Farah cuba mengembalikan ingatan aku.
Nayli pandang Farah dengan rasa tidak percaya. Tapi Farah
angguk sambil tersenyum manis.
“Eh, awak ingat tak dengan Iyyad?” soal Farah tiba-tiba.
Dahi Nayli sudah berkerut. Terbantut hasratnya hendak makan.
Putus selera bila Farah menyebut nama itu. Nayli pandang Farah semula.
“Dia cari awak, bertahun-tahun lamanya,” kata Farah.
“Iyyad jahatkan. Buat awak macam itu kemudian terus
senyap,” tambah Farah lagi.
“Nayli, dia cari awak,” kata Farah lagi.
Nayli pandang Farah dan
mencari kekuatan untuk bersuara,”Untuk apa? Saya sudah lupakan semua itu dan
saya sudah maafkan semuanya.”
Farah masih
tersenyum,”Sekarang saya tahu mengapa awak sukakan dia.”
Oh, tidak, Nayli tidak
mahu tahu itu semua. Baginya semua sudah berlalu dan dia sendiri sudah tidak
ingat apa-apa tentang Iyyad.
“Eh, saya hendak berbual
panjang dengan awak, tapi saya kena cepat. Boleh saya telefon awak nanti,” kata
Farah.
“Err, saya sibuk sikit
sebab lusa ada seminar,” Nayli mencipta alasan.
“Sebenarnya ada perkara
saya hendak beritahu awak,” kata Farah.
Nayli serba salah. Kalau
boleh dia tidak mahu tahu apa-apa pun yang berkaitan dengan Iyyad. Malah nama
itu sudah dia tanam dalam-dalam. Nayli cuba mengaku secara jujur, suatu masa
dulu kau pernah cuba cari Iyyad dan Farah? Sekarang tuhan sudah makbulkan doa
kau, kenapa menolak? Hatinya bersuara mengingatkan.
Dia mengeluh perlahan. Ya,
dulu memang aku ada cuba cari, tapi tidak bersungguh-sungguh pun sebab rasanya
tidak ada sebab konkrit hendak cari mereka. Patutlah, patutlah orang selalu
cakap berhati-hati dengan apa saja yang kita hajatkan.
Hari ini semua kerja jadi
tidak betul. Nasib baik tidak ada yang penting, kalau tidak harus dia terima
surat pemberhentian kerja.
“Nayli, sudah hendak
balik?” soal Zuan.
Nayli hanya senyum segaris
dan angkat tangan. Dia tidak mahu kawan sepejabat terasa pula dengan sikapnya
yang agak kurang sopan itu. Nayli tidak terus pulang. Dia singgah di kedai
buku. Mungkin beli novel terbaru dapat mengubat resahnya. Nayli parkir kereta
betul-betul dihadapan kedai buku.
“Nayli, tidak sangka jumpa
awak disini,” oh itu suara orang yang Nayli cuba elak.
Lambat-lambat dia
berpaling, Farah sedang tersenyum memandangnya.
“Mari saya belanja awak
minum,” Farah menarik lengan Nayli.
“Ada banyak cerita yang
hendak saya kongsi dengan awak,” beritahunya lagi.
Apa yang Farah tidak tahu,
jantung Nayli sudah bertukar ritma.