Teringat satu kisah tentang
kawan sekelas yang cantik. Dia boleh dikategorikan sebagai ratu sekolah kerana
kecantikkannya. Kulitnya yang putih mulus dan tutur kata yang sopan dan
terkenal dengan sikap lemah lembutnya. Ramai juga pelajar lelaki yang terjatuh
cinta dengannya. Tapi yang hairan dia selalu tenang bila ada yang mengirimkan
surat cinta. Ya, dulu zaman saya sekolah mana ada facebook, twitter atau blog
untuk meluahkan perasaan.
Hingga satu hari dia
mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan kami semua. Hanya tinggal seminggu dua
lagi peperiksaan SRP akan berlangsung. Guru-guru bertungkus lumus membantu
pelajar dengan mengadakan kelas tambahan.
Hingga suatu hari, kawan saya yang cantik telah menyebabkan ustaz
menegurnya. Ustaz itu sekadar menegur dan mungkin disalah anggap oleh
kawan saya, lantas dia bangun dan menjawab
“Ustaz jangan marah-marah
saya kerana saya hendak kahwin”
Ustaz nampak terkejut mendengar kata-katanya. Kami rakan sekelas bertambah terkejut.
Selepas itu khabar
angin bertiup kencang. Dan si cantik itu dengan selambanya mengakui tentang apa
yang dikatakan itu memang benar. Ya, kami melihat setiap kali kelas tambahan
berakhir, seseorang datang dengan kereta mahal menjemputnya. Dia juga memberitahu
kami bahawa itu adalah tunangnya.
Wah, saya memang kagum dengan dia. Menurutnya, si dia adalah seorang
jurutera. Bertambah besar mulut kami mendengarnya. Malah ada yang kata, si
cantik sangat bertuah kerana mempunyai bakal suami yang berkerjaya hebat.
Hebat, memang hebat, kerana saat saya masih belum menentukan arah hidup, ada
kawan yang sudah berumahtangga.
Ya, hari terakhir SRP kami dijemput ke rumahnya kerana dia akan menikah
keesokkan harinya. Dan saya memang tidak
pergi kerana saya langsung tidak tahu di mana lokasi rumahnya.
Beberapa tahun kemudian, saya bertemu dengan si cantik itu. Saya menegurnya
dan dia kelihatan seperti dahulu cuma sedikit berisi. Maklumlah menurutnya dia
sudah memiliki 3 orang anak. Dan dia sudah menjadi surirumah sepenuh masa.
Malah suaminya tidak membenarkan dia keluar bekerja. Di rumah disediakan dua
pembantu untuk menguruskan rumah dan anak-anak.
“Habis, awak buat apa?” tanya saya
ingin tahu…oh sungguh busy body.
“Suami suruh saya habiskan masa dengan berehat-rehat
sahaja,” balasnya.
Sekali lagi saya rasa kagum, betapa bertuahnya dia….