Wednesday, May 6, 2009

Masih adakah maaf...?

Aku duduk memerhatikan dia yang sedang bekerja. Tangannya lincah menyediakan hidangan untuk pelanggan yang datang. Malahan dia juga ramah melayan pelanggan. Dia juga kadangkala membantu pelanggan warga emas untuk duduk dimeja.

Aku memerhati sekeliling. Tidak ramai pelanggan hari ini. Atau aku yang terlalu awal?. Selalunya gerai makan ini sentiasa dipenuhi dengan pelanggan berbanding dengan gerai yang terletak disebelah menyebelah. Adakah kerana dia yang ramah dan manis atau kerana masakkan yang ada digerai ini menepati selera ramai orang?. Entahlah sukar untuk aku teka.

Tetapi apa pula alasan aku ke sini? Sarapan seperti orang lain?. Sarapan? huh! Selalunya aku sarapan dirumah sahaja. Sarapan yang selalu disediakan oleh Makcik Biah.

"Ya! encik hendak minum apa?"tanya seorang anak muda yang berdiri dihadapanku.
Aku memandangnya dari atas kebawah. Anak muda itu nampak tidak selesa. Tetapi dia tetap berdiri dihadapanku menanti pesanan dariku.

"Nescafe panas,"akhirnya aku membuat pesanan.

Anak muda itu segera berlalu. Mataku mencari-cari si dia. Tiba-tiba pandangan kami bertembung. Si dia dengan pantas melarikan matanya. Dia terus melayan pelanggan yang keluar dan masuk dari gerai itu. Aku segera melambai anak muda yang mengambil pesananku sebentar tadi.

"Encik hendak pesan makanan?"tanyanya.

"Boleh tak kamu minta perempuan itu hantar air saya?"tanyaku lalu menunjuk ke arah dia.

Anak muda itu berpaling lalu mengganguk. Segera dia menyampaikan pesananku kepada si dia. Si dia nampak terkejut, tetapi kelihatan tidak cuba membantah.

"Encik, ini airnya,"Si dia meletakkan cawan dengan sopan dimejaku.

Kemudian dia bersedia untuk meninggalkan aku.

"Cik, saya mahu minta maaf?"kataku perlahan.

Belum sempat si dia bersuara, bahuku pula terasa ditepuk.

"Engkau kemana?. Puas aku cari?"soal seseorang.

Aku berpaling dan melihat Hanif tersenyum. Tanpa di pelawa Hanif duduk dihadapanku.

"Saya hendak teh tarik, ya,"Hanif segera membuat pesanan.

Tanpa berlengah si dia mula melangkah. Aku segera memanggilnya semula.

"Cik...saya...,"aku terhenti.

"Sudahlah, Azril, jangan ganggu dia lagi. Kasihan semalam dia sudah menangis kerana mendengar maki hamun kamu,"tiba-tiba Hanif memberi nasihat.

"Aku hanya ingin meminta maaf atas kekasaran aku semalam,"terus ayat itu meluncur dari mulutku.

Tanpa sepatah kata si dia terus berlalu. Malahan pesanan Hanif hanya dihantar oleh orang lain. Aku mengeluh. Masihkah ada maaf untukku?...