Friday, January 6, 2012

Kakak sudah masuk sekolah....


Kakak melangkah ke alam persekolahan tahun 2012. Minggu orientasi telah berjalan beberapa hari lebih awal. Sungguh berbeza dengan minggu orientasi abang, 4 tahun yang lalu.  Semasa abang menjalani minggu orientasi  dan peperiksaan pada hari yang sama. Kemudian  pada hari pertama sekolah, segala urusan bayaran termasuk membeli buku dilakukan. Oh memang penat, kerana pagi abang ke KAFA dan petang ke sekolah kebangsaan. 

Walaupun kakak pergi ke KAFA sesi pagi, saya tidak perlu menemaninya. Sekadar menghantar ke kelas kemudian berjumpa dengan ustazah untuk urusan pembayaran yuran. Selebihnya kakak sendirian sepanjang pagi di KAFA pada hari pertama. Tengah hari pula, kakak pergi ke sekolah menaiki van sendirian tanpa saya menemaninya. Saya dan abahnya sekadar menunggu di sekolah. Kakak memang seorang anak yang berdikari. Hari pertama di sekolah, untuk tahun 2012, saya tidak melihat adegan menangis, meraung, mahu pun lari keluar daripada kelas oleh pelajar tahun 1. Hanya kelihatan ibubapa yang terlebih seronok melihat anak mereka bersekolah. Ada ibu atau bapa yang bersiap sedia membawa kamera video untuk merakamkan setiap aktiviti anaknya...Wah, semuanya seiringi dengan kemajuan teknologi

Teringat semasa abang di tahun 1. Salah seorang rakan sekelasnya meraung sehingga lari keluar daripada kelas kerana tidak nampak kelibat ayahnya. Wah, penat juga guru kelas mengejar dan memujuk. Sesi pembayaran yuran terganggu sebentar. Ops pelajar itu bukan menangis pada hari pertama sahaja, seingat saya sehingga beberapa hari. 

Kakak memang bersemangat ke sekolah. Hingga dia sendiri pergi ke rumah pemandu van dan bukannya pemandu van datang menjemputnya. Hari pertama sekolah juga, tali pinggang pinafore kakak hilang, duit belanja KAFA dan sekolah kebangsaan habis.  Dan kakak dengan baik hatinya belikan kawan minuman kerana kawannya sudah kehabisan duit belanja…aduh kakak!. Memang kena ingatkan selalu.

Seperti masa kakak mula-mula ke sekolah tadika, saya memang ambil cuti beberapa hari untuk 
menemaninya. Tapi hanya satu hari sahaja, hari berikutnya saya sudah bekerja semula kerana kakak cepat menyesuaikan diri dengan keadaan baru. Begitu juga masa hari pertama sekolah, sebaik sahaja melihat kakak yang menyesuaikan diri, saya sedar, saya tidak perlu menemaninya pada hari kedua.
Kakak sudah sekolah sekarang. Semoga kakak berjaya mengapai cita-citanya untuk menjadi Doc Vet dan Chef yang memiliki restaurant.  Juga untuk semua anak-anak mama, semoga cita-cita kalian tercapai…